YDPA DIMASYHUR SEBAGAI CANSELOR UITM

YANG di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, hari ini dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Majlis Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor.

Al- Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan rasa bangga atas pemasyhuran baginda sebagai canselor kepada sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang terbukti mempunyai sejarah perjuangan yang cukup istimewa khususnya dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera.

“Sesungguhnya, universiti ini memainkan peranan yang besar dalam melestarikan darjat dan martabat bangsa pribumi melalui pendidikan tinggi, kerana itulah, universiti ini sudah sekian lama berperanan dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berkualiti dan berjasa kepada negara.

“Pada hemat Beta, universiti ini hendaklah terus mengekalkan visinya iaitu memberi penekanan kepada kelestarian serta kelangsungan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan.

“Ini bagi menentukan Bumiputera terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia,” titah baginda memetik laporan Berita Harian.

Al-Sultan Abdullah bertitah, bagi menentukan bangsa Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing di pentas global, universiti itu perlu menyediakan pengajian yang mengkaji pemikiran, kepintaran serta budaya kepelbagaian bangsa yang merentasi zaman sebagai bekalan untuk memartabatkan bangsa.

Titah baginda, semua itu boleh dilakukan tanpa merubah identiti dan matlamat asal penubuhan universiti berkenaan.

“Melalui pendekatan ini, ia boleh merubah jiwa dan stigma Bumiputera dengan membina keyakinan diri bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera mampu bersaing di persada dunia.

“Beta percaya jika sesuatu bangsa itu ingin berubah dan mengatasi sebarang cabaran yang mendatang maka bangsa itu hendaklah memiliki modal insan yang berilmu pengetahuan dan juga memiliki pegangan spiritual serta sahsiah yang unggul,” titah baginda.

Baginda juga menitahkan agar UiTM sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun yang melahirkan cerdik pandai, turut mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemai nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

“Beta menyeru agar dipelihara dan dijaga nama baik universiti ini. Universiti Teknologi MARA adalah sebuah institusi yang penuh sejarah, lagi keramat.

“Di sinilah darjat, martabat dan hak bangsa Melayu serta Bumiputera diperjuangkan,” titahnya baginda.

error0
Tweet 20