WASPADA! BAYI JUGA BOLEH MENDAPAT STROK

STROK merupakan keadaan di mana serangan kepada otak akibat bekalan oksigen terhenti. Kesan daripada keadaan ini akan membuat seseorang merasa kebas di satu bahagian badan, gagal menyeimbangkan badan malah tidak mampu untuk berkomunikasi.

Pernahkah anda terfikir bahawa strok juga boleh berlaku di kalangan bayi?

Ianya tidak mustahil kerana kejadian strok di kalangan bayi boleh berlaku di antara 1:4000 orang, malah ia boleh juga terjadi sewaktu bayi di dalam kandungan dan selepas dilahirkan.

Tidak seperti orang dewasa, gejala strok di kalangan bayi tidak ditunjukkan secara jelas sehingga ibu bapa sendiri tidak perasan akan serangan strok terhadap anak mereka.

Antara gejala strok pada bayi atau kanak-kanak adalah seperti berikut :

Mudah mengantuk

Masalah penglihatan

Gemar menggunakan sebelah badan sahaja apabila melakukan sesuatu aktiviti

Sawan

Memetik perkongsian The Asian Parent, sekiranya seseorang bayi itu pernah mendapat serangan strok, kesannya hanya dapat dilihat sama ada selepas beberapa bulan atau tahun ia terjadi.

Sebagai contoh, jika anak anda gemar menggunakan sebelah tangan sahaja, seperti menggunakan tangan kiri untuk mengambil barangan atau menunjukkan sesuatu, jangan hanya menganggap anak anda kidal – kerana kecenderungan untuk kidal atau sebaliknya hanya akan bermula sekitar 2 tahun dan ke atas.

Di antara usia sebegini, anak-anak mahu explore pelbagai perkara di sekelilingnya dan mereka akan menggunakan kedua-dua belah tangannya dan anggota badan.

Jika anak anda menunjukkan gejala seperti yang disebutkan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor dan pakar untuk mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

Pakar pediatrik akan memberi rawatan seperti pembedahan untuk mengurangkan tekanan pada otak, mengawal tahap hidrasi anak dan mengawal tahap gula dalam badan mereka.

Tindakan anda untuk segera membawa anak mendapatkan rawatan mampu membantu mereka dari mendapat masalah kemahiran mengingati dan berfikir serta kesukaran untuk berkomunikasi.

error0