WARGA EMAS BERDEPAN DUA TUDUHAN KERANA HINA NABI MUHAMMAD

WAI Foo Sing, 68, yang bertindak memuat naik karikatur yang berunsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan isteri, Saidatina Aisyah pada minggu lalu didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Lelaki berbangsa Cina itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibacarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim M Edwin Paramjothy.

Foo Sing hadir seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga kelihatan tenang dan mendiamkan diri sepanjang prosiding dijalankan pada jam 10.35 pagi.

Dia menggunakan laman Facebook peribadinya dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan, di mana tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni di antara kumpulan beragama Islam dan bukan Islam di seluruh negara, yang dibaca jam 12 tengah hari pada 18 Februari lalu.

Memetik laporan Berita Harian, dia dituduh melakukan kesalahan itu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini, jam 5 petang, pada 17 Februari lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Foo Sing didakwa menggunakan laman Facebook yang sama, membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998(Akta 588), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin pihaknya mencadangkan jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dengan alasan pertuduhan itu membabitkan kesalahan serius.

“Kes ini juga mendapat perhatian masyarakat awam, kadar jaminan yang rendah dibimbangi boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap badan kehakiman dan menjamin kehadiran tertuduh pada setiap perbicaraan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili pegum dalam rayuannya memohon dikenakan ikat jamin rendah dengan alasan sudah berusia dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Anak lelaki saya akan datang untuk membayar jamin, namun saya tidak tahu berapa jumlah wang yang dibawa,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes.

error0