WANITA MALAYSIA PERAS UGUT PASANGAN AUSTRALIA YANG MAHU TELEFON BIMBIT DIPENUHI GAMBAR ANAK

KECOH di laman sosial ketika ini adalah kes membabitkan seorang wanita Malaysia yang dituduh memeras ugut pasangan suami isteri di Australia yang tercicir sebuah telefon bimbit di sebuah tandas di pusat membeli belah di Melbourne, pada Sabtu minggu lalu.

Siti Nurhidayah Kamal, 24, dipercayai meminta wang berjumlah AS$1,000 (RM2,900) sebagai tukaran memulangkan telefon bimbit, selepas Jay dan Dee Windross merayu di media sosial tentang kehilangan tersebut.

Lebih menyedihkan, telefon bimbit berkenaan dipenuhi gambar bayi mereka, Amiyah, yang meninggal dunia minggu lalu akibat masalah saraf semenjak dilahirkan.

Pasangan itu memuatnaik kehilangan telefon bimbit mereka di media sosial, kemudian dihubungi seseorang di aplikasi Whatsapp dengan mengarahkan sejumlah wang dimasukkan ke sebuah akaun bank sebelum telefon itu dipulangkan.

Siti Nurhidayah dan suaminya dipercayai tinggal di Australia sejak empat bulan lalu dengan meninggalkan dua anak mereka di Malaysia.

Wanita berkenaan yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk Uber Eats tidak dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Majistret Ringwood.