WANITA HAMIL ANTARA 19 MAUT SERANGAN DI GAZA

BEBERAPA siri serangan roket yang dilancarkan tentera Israel dan pejuang di wilayah dikuasai Hamas menyebabkan seramai 19 rakyat Palestin dan empat penduduk Israel maut.

“Secara keseluruhannya, 19 rakyat Palestin terkorban dalam serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel ke wilayah berkenaan,” kata Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Katanya, seorang wanita yang sarat mengandung dan bayi berusia empat bulan adalah antara mangsa yang maut dalam serangan itu.

Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Sekurang-kurangnya sembilan daripada mangsa yang terbunuh adalah pejuang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Hamas dan sekutunya, Islamic Jihad.

Sementara itu, kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan berkata, serangan Israel menyasar ibu pejabat keselamatan dalam negeri di wilayah Palestin.

“Bangunan berkenaan yang terletak di Bandar Gaza musnah sama sekali,” kata kenyataan itu. – AFP