WALAUPUN TELAH MATI, INI MUNGKIN BOLEH BERLAKU PADA JASAD

REZEKI, jodoh dan kematian ada rahsia tuhan yang kita tak mampu mengetahuinya sehinggalah ia terjadi. Semua benda hidup di dunia ini akan merasai kematian, sama ada cepat atau lambat.

Kematian – jika semalam kita singkap proses-proses yang berlaku kepada mayat, hari ini kami akan berkongsi beberapa perkara yang mungkin akan berlaku pada tubuh manusia selepas meninggal dunia.

Kulit bertukar warna ungu dan lebam

Perubahan warna kulit dipengaruhi oleh persekitaran si mati.  Dikenali sebagai livor mortis, rata-rata mayat akan mengalami perubahan warna kulit kerana proses pengepaman darah daripada jantung sudah terhenti, menyebabkan darah terkumpul di sesuatu bahagian badan.

Namun ada juga mayat yang tidak menukar warna kulit.

Berbau busuk

Dalam beberapa tempoh, mayat akan mula membusuk disebabkan fungsi badan sudah terhenti. Antaranya tiada lagi pengepaman darah, aliran masuk oksigen dan pengeluaran karbon dioksida serta otak juga tidak berfungsi.

Proses ini turut dibantu dengan kehadiran bakteria yang sedia ada di dalam badan, menyebabkan ia menjadi tidak terkawal kerana fungsi badan terhenti.

Kulit, isi dan organ antara bahagian badan yang mereput dengan cepat berbanding tulang yang memerlukan masa yang amat lama.

Tiada lagi kedutan kulit

Seiring peningkatan usia, kulit tidak lagi gebu, kendur dan menjadi kedut. Selepas kematian, segala otot-otot di dalam badan menjadi lebih relaks dan membuatkan tiada lagi garis kedutan kelihatan, terutama pada bahagian muka.

Mengerang

Anda fikir orang yang sudah mati tidak boleh mengeluarkan suara? Ada yang kata terdengar suara mayat di dalam kubur dan mengaitkannya dengan kepercayaan karut, seperti dirasuk.

Sebenarnya tidak mustahil bagi mayat mengeluarkan suara kerana udara dan gas di dalam badan yang terperangkap akan keluar dari dalam badan. Ini adalah proses biasa bagi mayat.

Terkentut

Seperti mengerang, udara dan gas yang terperangkap di dalam badan mungkin akan keluar menerusi pita suara dan ada di antaranya keluar dalam bentuk kentut.

Keadaan ini terjadi kerana tubuh yang tidak bernyawa dan tidak berfungsi lagi akan menyebabkan otot badan menjadi lebih relaks.

Melahirkan anak

Ha? Sudah mati pun masih boleh melahirkan anak? Ya, ia masih boleh berlaku walaupun sangat jarang. Sekiranya si mati merupakan seorang ibu hamil, keadaan itu tidak mustahil terjadi kerana otot badan berada dalam keadaan rehat, gas dan udara di dalam badan akan dilepaskan sehingga membuatkan bayi yang dikandung juga terkeluar,

Situasi begini ada divisualkan dalam cerita-cerita hantu yang mengaitkannya dengan ‘coffin birth’.

Ereksi

Ereksi oleh mayat tidak serupa dengan manusia hidup. Ia bukan disebabkan oleh ransangan, sebaliknya berlaku apabila jantung yang berhenti mengepam darah menyebabkan ia terkumpul di bahagian badan yang paling rendah.

Jika alat sulit menjadi bahagian badan yang rendah, maka darah akan berkumpul di bahagian berkenaan seterusnya menjadikan ereksi di bahagian itu.

Menjamin kesuburan tanah

Tahukah anda tubuh badan manusia mampu menjadi baja untuk menyuburkan tanaman, namun belum ada kajian terperinci dilakukan dalam hal ini.

Ia berlaku akibat proses pereputan dan penguraian mayat. Anda boleh lihats endiri bagaimana tumbuhan di kawasan perkuburan tumbuh dengan subur dan sihat.