(VIDEO) TETAP BAHAGIA WALAUPUN JARAK USIA DENGAN SUAMI 43 TAHUN

SUAMINYA pernah digelar sebagai pedofilia hanya kerana mereka keluar di kawasan awam dan saling berpegangan tangan, malah menganggap pasangannya sebagai datuk kerana kelihatan lebih tua darinya.

Samantha Simpson, 19, yang selama ini hanya berdiam diri setiap kali dikecam akhirnya membuka mulut.

Samantha dan suaminya, JR, 63 tahun bertemu pada dua tahun lalu ketika dia berusia 18 tahun. Menjalinkan hubungan dalam tempoh beberapa bulan, mereka sepakat untuk berkahwin pada 8 Januari 2018.

Namun percintaan Samantha dan JR menerima halangan keluarga wanita berkenaan kerana jarak umur yang terlalu besar, menyebabkan Samantha berpindah ke Berryville, Arkansas dan tinggan bersama JR.

“Apabila kami keluar, orang ramai akan salah faham, mereka ingat saya keluar bersama datuk. Ia amat mengecewakan saya.

“Namun lebih teruk apabila orang ramai memanggil JR sebagai pedofilia apabila mereka melihat kami berpegangan tangan di tempat awam.

“Kami berdepan masa sukar dengan keluarga dan rakan juga tidak menerima hubungan kami, jadi apabila orang tidak dikenali berkata bukan-bukan, ia amat melampau.

“Kami hanya mahu orang ramai tahu kami gembira bersama dan serius dalam hubungan,” kata Samantha.

Samantha memberitahu dirinya pernah menemui lelaki yang seusia dengannya namun tidak menyukai mereka kerana faktor ketidakmatangan.

Samantha yang semakin bahagia bersama JR memberitahu dirinya mahu mempunyai anak sendiri bersama suami meskipun JR memiliki anak hasil perkahwinan sebelum ini.

“Saya dalam proses mahu hamil kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya harap selepas kami ada anak, tiada lagi kecaman diterima suami saya.

“Saya harap dengan berkongsi kisah kami, orang ramai akan menyedari ia bukan jenaka dan kami amat serius antara satu sama lain meskipun jarak usia kami jauh berbeza,” tegasnya.

error0