TINDAKAN TIADA PERIKEMANUSIAAN, YDPA KUTUK SERANGAN TERHADAP UMAT ISLAM DI CHRISTCHURCH

KEJADIAN tembakan di dua buah masjid di Christchurch semalam turut mengakibatkan dua rakyat Malaysia cedera, namun dilaporkan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Wisma Putra juga memaklumkan tiada rakyat negara ini menjadi korban dalam serangan tiada perkemanusiaan itu.

Malaysia turut mengutuk keganasan itu dan berharap mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

Dalam pada itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengutuk insiden yang berlaku semalam ketika jemaah sedang bersedia untuk solat Jumaat.

“Baginda mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan kepada masyarakat yang tidak berdosa dan berharap mereka (penembak) terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Doa kami bersama mereka yang tercedera dan mereka yang kehilangan orang tersayang,” demikian titah Baginda.

Baginda turut mendoakan supaya rakyat Malaysia yang tercedera termasuk seorang yang dalam keadaan kritikal, kembali sembuh.

Insiden tembakan rambang ke atas umat Islam di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand, semalam, mengakibatkan 49 kematian dan 20 cedera.

error0
Tweet 20