TIADA PERANCANGAN ANJUR PAMERAN DORAEMON SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA – BALAI SENI NEGARA

Balai Seni Negara hari ini menjelaskan pihaknya tiada perancangan mengadakan pameran kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menerusi laporan Berita Harian, agensi itu menerusi kenyataan hari ini berkata, menjelaskan kenyataan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi sebelum ini tidak bermaksud pihaknya mahu menggunakan kartun animasi itu untuk mempromosi TMM2020.

Ketika perasmian Doraemon Pop-Up store di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bulan lalu, Hasbullah dilaporkan berkata pameran lukisan Doraemon secara tidak langsung boleh mempromosikan Malaysia di mata dunia, mengambil kira populariti kartun itu.

“Untuk maklumat tambahan, Doraemon Pop -Up Store adalah program promosi bergerak produk dan cenderamata Doraemon, bukannya berbentuk pameran.

“Balai Seni Negara mengambil berat pandangan dan kebimbangan Pengerusi Animasi Malaysia (ANIMAS), Ameri Hamzah Hashim mengenai perkara ini.

“Balai Seni Negara sentiasa mengutamakan seni visual tempatan dan memartabatkan seni serta karyawan tempatan,” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Balai Seni Negara turut menyebut pelbagai acara telah disusun untuk tahun 2020 antaranya melibatkan pelukis terkenal menampilkan karya bertemakan tempat dan tempatan sebagai menyokong usaha TMM2020, sebagaimana yang pernah dilakukan tahun-tahun sebelum ini.