chong wei bersara

TIADA LAGI KELIBAT DI GELANGGANG BADMINTON, CHONG WEI UMUM BERSARA

SELEPAS 19 tahun berjuang di gelanggang badminton, jaguh badminton negara, Datuk Lee Ching Wei hari ini mengumumkan pengundurannya dalam sukan ini demi kesihatannya.

Pengumuman itu dilakukan menerusi sebuah sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan.

Hadirin di sidang media itu turut sebak selepas Chong Wei turut mengalirkan air mata apabila memberitahu ia adalah keputusan yang paling sukar dilakukannya selepas berfikir panjang dan berbincang dengan isteri, Datin Wong Mew Choo.

“Saya ada ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.

“Jadi selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bagi meminta pandangan mereka.

“Saya akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya,” katanya.

Antara pencapaian peribadi menarik Chong Wei adalah menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015) selain muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Terdahulu khabar angin mula bertiup kencang yang mengatakan pemain berusia 37 tahun itu akan mengumumkan persaraan.

Spekulasi semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

error0
Tweet 20