THI HUONG BEBAS, PULANG VIETNAM MALAM INI

DOAN Thi Huong, wanita warga Vietnam yang dituduh membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam atau dikenali sebagai Kim Chol dibebaskan dari Penjara Kajang pagi ini.

Wanita itu akan dihantar pulang ke Vietnam menerusi sebuah penerbangan khas pada jam 7.30 malam ini.

Proses itu turut mengambil kira urusan pengusiran yang diuruskan Jabatan Imigresen dan Kedutaan Vietnam.

Untuk rekod pada 1 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan ke atas Thi Huong, 30, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Kim Chol dengan menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dua tahun lalu.

Pada 11 Mac lalu pula, mahkamah sama melepaskan tanpa membebaskan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia, iaitu seorang lagi tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam.