TENGKU MAIMON DILANTIK KETUA HAKIM NEGARA YANG BAHARU

JAWATAN Ketua Hakim Negara yang baru disandang oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat , berkuatkuasa semalam, Khamis.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.

Tengku Maimon merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara di Malaysia.

Sementara itu majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan Baginda.

Pelantikan berkenaan berikutan tamat tempoh perkhidmatan, Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu setelah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu dan sebelum itu sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.

Di peringkat awal, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.

Pada April 2011 hingga 7 Januari 2013 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor.

error0
Tweet 20