SULTAN PERAK INGATKAN RAKYAT TIDAK SEMAI BENIH KEBENCIAN ANTARA KAUM, AGAMA

PERBUATAN menyemai pemikiran dan jiwa dengan unsur permusuhan dan kebencian amat membahayakan, demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Baginda meminta rakyat mengambil iktibar serangan berdarah di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang berlaku kerana sikap kebencian yang melampau sehingga mengundang permusuhan.

Sultan Nazrin bertitah lagi bahawa Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan sejak 62 tahun lalu merupakan sebuah negara berdaulat hasil usaha pemimpin terdahulu.

“Mereka menerima hakikat, bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara bergantung pada kejayaan menyemai semangat kerjasama antara kaum, dan memupuk semangat saling menghormati antara agama,” titah baginda.

Baginda bertitah, melalui persefahaman yang terjalin dan sikap saling menghormati yang diamalkan dalam kalangan rakyat, Malaysia muncul di pentas dunia sebagai sebuah negara yang stabil, aman, makmur dan sejahtera yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta mengamalkan pelbagai budaya tetapi hidup secara rukun penuh harmoni.

“Perbuatan oleh mana-mana juga pihak yang mensensasikan isu kaum dan isu agama, dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, sebuah perpaduan dan sebuah kerukunan, yang telah dibina oleh generasi terdahulu.

“Demi kestabilan negara, keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan antara agama hendaklah dielakkan,” titah baginda, memetik Berita Harian.