SUAMI MATI TERGANTUNG, ISTERI MATI TERBARING BERLUMURAN DARAH

SEORANG wanita terkejut menjumpa mayat pasangan suami isteri di dalam sebuah bilik yang disewa dekat Jalan Pokok Machang. Tasek Gelugor, pada jam 9.15 pagi tadi.

M Nervala Devy, 30, tuan rumah berkenaan yang bekerja di kantin di sebuah sekolah pulang ke rumah berkenaan kerana berasa ‘lain macam’.

Memetik laporan Berita Harian, Nervala berkata dia terkejut menjumpai mayat lelaki yang berusia 31 tahun dalam keadaan tergantung manakala isterinya yang berusi 27 tahun ditemui berlumuran darah di atas katil.

Nervala memberitahu mengenali rapat pasangan berkenaan sejak dua tahun lalu selepas mereka menyewa bilik rumahnya sejak sebulan lalu.

“Kali terakhir saya melihat isteri mangsa pada pagi semalam dan suaminya pula petang semalam.

“Sebelum itu, saya bersama mereka ada keluar makan tetapi tidak nampak sebarang kelakuan pelik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa bekerja sebagai kelindan lori manakala isterinya seorang operator kilang.

Siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan masih menunggu hasil siasatan unit patologi.

Motif kejadian masih disiasat dan pasangan berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.