SITI MASITAH JADI MANGSA DENDAM, BUKAN AKIBAT PEMERDAGANGAN MANUSIA


KANAK-kanak perempuan yang ditemui mati dengan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan pada Sabtu lalu, dipercayai menjadi mangsa dendam terhadap keluarganya. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nayan berkata pihaknya percaya Siti Masitah Ibrahim, 11, dibunuh pada hari yang sama dia dilaporkan hilang pada 30 Januari lepas.

Sehubungan itu polis menahan seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun pada 31 Jan selepas menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berketurunan Kemboja itu. 

“Lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu merupakan kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Pada awal soal siasat suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan kanak-kanak itu tetapi setelah mayat ditemui, suspek mendedahkan penglibatannya berkait kehilangan mangsa.

“Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya dalam kenyatan kepada media hari ini.

Dalam masa yang sama Othman menegaskan hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat ‘probable head injury’ dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

“Saya ingin menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat kehilangan organ-organ badan mayat berkenaan yang kononnnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia. Kami tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna itu boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Dakwaan mengatakan polis lambat mengambil tindakan mengesan kanak-kanak berkenaan dinafikannya kerana tangkapan dan soal siasat terhadap suspek dibuat sejurus selepas menerima laporan kehilangan mangsa pada 11 malam 30 Jan lalu.

Mayat Siti Masitah yang berketurunan Kemboja ditemukan pada kira-kira pukul 4.00 petang Sabtu lalu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan berkenaan.

Semasa ditemui, mayat dalam keadaan tertiarap dan hampir reput dengan tangan diiikat dari belakang menyebkan timbul spekulasi kanak-kanak itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ibunya Zaleha Abdullah, 35, sebelum ini memaklumkan anaknya kali terakhir dilihat pada pukul lima petang 30 Jan lalu, ketika meminta wang RM1 daripadanya untuk ke kedai berhampiraan, tetapi anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pulang ke rumah selepas itu menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Suspek kemudian ditahan pada kira-kira pukul 2.00 pagi 31 Jan di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan selepas ada saksi mendakwa melihat Siti Masitah membonceng motosikal yang ditunggang lelaki itu pada hari dia dilaporkan hilang.

error0