SEMPENA HARI KESEDARAN AUTISME SEDUNIA, MARI KITA BELAJAR CARA BERKOMUNIKASI DENGAN KANAK-KANAK ISTIMEWA INI

Kanak-kanak yang mempunyai masalah autisme lebih gemar hidup dalam dunianya sendiri. Mereka tidak suka suasana yang bising dan keadaan yang dipenuhi dengan ramai orang.

Mereka yang berdepan dengan masalah autisme akan mempunyai masalah dari segi sosial, komunikasi dan tingkahlaku.

Mereka sukar untuk bertutur, sukar meluahkan emosi, berfikir dan gemar melakukan rutin yang sama secara berulang-ulang.

Namun jangan dijadikan kekurangan dan keterbatasan ini sebagai sebab untuk anda menyisihkan mereka. Bantulah anak-anak ini supaya mereka rasa diterima dan mampu hidup secara normal sebagaimana orang lain.

Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada hari ini, ayuh kita kenali bagaimana cara yang boleh dilakukan untuk berkomunikasi dengan anak-anak ini.

Komunikasi Augmentatif dan Alternatif

Ia bukan komunikasi lisan sebaliknya komunikasi dengan menggunakan pergerakan tubuh badan, symbol, penggunaan gambar, ekspresi muka dan tulisan.

Kaedah komunikasi ini amat berkesan kepada kanak-kanak autisme kerana ia mudah difahami.

Sentiasa beri pujian

Sekiranya mereka membuat perkara yang positif, sentiasalah berikan mereka pujian dan ganjaran supaya anak-anak ini berasa seronok. Denda seperti time-out boleh dilakukan jika mereka membuat perkara yang negatif atau tidak mendengar arahan.

Sentiasa bermain dengan mereka

Anak-anak autisme gemar melakukan sesuatu perkara yang sama secara berulang-ulang. Jika bermain, mereka juga akan fokus kepada perbuatan itu.

Jika mereka gemar melakukan sesuatu, anda sebagai ibu bapa seharusnya sentiasa berada bersama mereka, meniru perbuatan, bunyi dan pertuturan, beri perhatian jika mereka cuba untuk berkomunikasi (Seperti isyarat badan, ekspresi muka), segera memberi respon dan merangsang perbuatan yang mereka lakukan serta mempelbagaikan intonasi suara untuk menarik minat mereka.

Beri arahan yang mudah dan jelas

Sebaik-baiknya, panggil dengan nama anak terlebih dahulu dan beri arahan yang ringkas sambil menggunakan isyarat badan supaya mudah difahami.