SELAMAT DATANG RAMADHAN!

“WAHAI orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Ramadhan – Bulan yang mulia, penuh keberkatan

Alhamdulillah, kita diberi kesempatan pada tahun ini untuk bertemu dan menikmati keindahan bulan Ramadhan. Kemuliaan bulan ini wajarlah dihayati, digunakan sebaiknya untuk mendidik jiwa dan raga dan meningkatkan keimanan diri untuk menuju kemenangan.

Ramadhan juga sangat istimewa kerana bulan inilah turunnya kitab suci Al-Quran. Ia menjadi pelengkap kepada keperluan hidup manusia sepanjang zaman. Surah Al Baqarah Ayat 185 juga menyebut bahawa Allah SWT memuji kemuliaan bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lainnya kerana Al-Quran.

Selain Al-Quran, mari kita semak beberapa perkara lain yang menjadikan Ramadhan begitu istimewa buat kaum Islam.

Bulan penuh keberkatan
Disebut juga sebagai malam seribu bulan kerana setiap orang Islam yang mengerjakan ibadat dan melakukan kebaikan, dia akan mendapat keberkatan yang sama nilainya dengan seribu bulan.

Amal soleh berlipat ganda
Sebuah hadis menyebut di mana bulan Ramadhan adalah tempoh dimana kita sentiasa mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Ganjarannya sama seperti dengan tujuh puluh kali ganda dari kewajiban yang kita lakukan pada bulan-bulan yang lain. Maka kerana itulah setiap orang Islam digalakkan melakukan amal kebaikan dan ibadat.

Malam Lailatul Qadar
Inilah malam yang amat didambakan setiap orang Islam. Terjadi pada 10 malam terakhir Ramadhan yang mana malam yang amat baik untuk diisi dengan doa yang baik selain mukjizat dari Allah SWT.

Doa dikabulkan dan dosa dihapuskan
Apabila seseorang itu menjalani ibadah puasa dengan sebaik-baiknya, maka dia akan memperolehi pahala yang berlipat kali ganda, bahkan keadaan dirinya digambarkan seperti seorang bayi yang baru lahir. Ramadhan juga, seperti firman Allah SWT, setiap doa yang dipanjangkan pasti dikabulkan, InsyaAllah.