SAMAN TERBATAL, REMAJA TERPOTONG KEPALA ZAKAR KEMUKA RAYUAN

RAYUAN akan dilakukan remaja 19 tahun yang kehilangan kepala zakar ketika bersunat dalam kejadian sembilan tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk membatalkan saman yang difailkan beliau terhadap kerajaan Malaysia dan empat yang lain.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad untuk membatalkan saman berkenaan selepas membenarkan permohonan kerajaan; Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; Pengarah Hospital; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor selaku defendan.

Peguam yang mewakili remaja berkenaan, Mohamad Zainuddin Abu Bakar berkata selepas keputusan itu beliau memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan.

“Mahkamah membatalkan saman itu selepas mendapati tidak ada isu untuk dibicarakan dalam kes ini dan pihak defendan tidak bertanggungjawab atas kejadian berkenaan kerana proses berkhatan dilakukan di luar kawasan hospital.

“Kami akur dengan keputusan ini … Dalam prosiding tadi saya bertanyakan mengenai hak kami untuk mengemukakan rayuan.

“Oleh itu kami akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk merayu bagi keadilan anak guam saya,” katanya.

Mohd Zainuddin memaklumkan saman yang sama akan dikemukakan terhadap pembantu perubatan yang dinamakan sebagai defenden pertama akan diteruskan dan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Mac depan.

Bagaimanapun defenden pertama memohon untuk membuat pindaan pernyataan pembelaannya.

Untuk rekod writ saman dan pernyataan tuntutan dilakukan remaja terbabit menerusi ibunya selaku plaintif pada 19 Julai 2018.

error0