SALAHKAH BERI PUTING KOSONG KEPADA SI MANJA?

JIKA diikutkan kata orang-orang tua, tak elok memberi puting kosong kepada bayi. Selain kelihatan bayi asyik hendak menghisap, tabiat itu juga akan menyebabkan anak lambat untuk bercakap.

Hakikatnya, tidak ada bukti jelas yang mengaitkan pemberian puting kosong akan memberi kesan langsung kepada tumbesaran bayi, meskipun wujud kegusaran daripada kalangan pakar perubatan jika ia diberikan kepada bayi dalam usia yang masih muda.

Bagaimanapun pemberian puting kosong ketika bayi berusia dua atau tiga bulan amat tidak digalakkan terutama jika anda memberi susu badan sepenuhnya kepada bayi. Hal ini akan menyebabkan masalah keliru puting. Mereka akan merasa selesa menghisap puting kosong atau puting botol berbanding susu badan sedangkan susu ibu amat penting dalam perkembangan bayi.

Terdapat pelbagai saiz dan bentuk potong kosong dari pelbagai jenama. Adalah penting untuk anda ketahui bahawa kesemua puting di pasaran Malaysia mengikut garis piawian pengguna dan tidak mengalami bahan bertoksik.

KEBAIKAN PUTING UNTUK BAYI

  • RISIKO TERLEBIH MINUM SUSU BERKURANG

Tindakan menghisap sering disalah tanggap mereka sedang kelaparan terutama bayi yang minum susu dari botol. Tindakan itu terjadi adakalanya kerana bayi terlebih diberi susu. Dengan memberi puting, bayi akan menghisap walaupun selepas dia kenyang susu.

  • BAYI MUDAH TIDUR

Bayi akan rasa selesa jika diberikan puting sekaligus membantu mereka mendapatkan tidur yang nyenyak dan tidak mudah terganggu dengan gangguan dari luar.

  • MEMENUHI KEPERLUAN SI MANJA UNTUK ‘MENGHISAP’

Adalah normal melihat bayi menghisap, namun keperluannya adalah berbeza bergantung kepada jika mereka mahu ditenangkan, bosan atau mengantuk.

  • SENANG DIKAWAL

Berbanding amalan menghisap jari, puting kosong jika diberikan kepada si manja mudah dikawal dan diberhentikan amalannya bila-bila masa jika anda rasa ia perlu dihentikan.

Perlu ingat, amalan menghisap jari adalah suatu habit yang sukar dihentikan kerana jari sentiasa ada di situ untuk mereka hisap.

Bagaimanapun di sebalik manfaat pemberian puting kosong kepada si manja anda, adalah lebih baik juga untuk ibu bapa memahami apakah kesannya pula.

Pertama, puting kosong akan menyebabkan pertumbuhan mereka terhalang kerana amalan menghisap memerlukan tenaga dan ia mungkin memberi kesan kepada berat badan anak anda. Boleh jadi mereka juga tidak minat untuk makan.

Puting kosong juga akan menyebabkan anak menjadi lambat bercakap kerana ‘addiction’ berkenaan. Jadi elakkan memberi puting kosong kepada mereka selepas berusia setahun.

Selain menyumbang risiko jangkitan di telinga, pemberian puting kosong juga boleh memberi kesan kepada pertumbuhan gigi anak anda, seperti gigi jongang dan terkeluar.

Kesimpulannya pemberian puting kosong kepada tidak salah jika ia digunakan secara sederhana, selagi memudahkan ibu bapa dan memanfaatkan si manja. Paling penting jangan sesekali mengharapkan puting kosong adalah satu-satunya jalan penyelesaian jika anak menangis dan meragam.

Usah biasakan anak dengan pemberian puting kosong sehingga mereka berusia lebiH 2 tahun kerana akan membantutkan pertumbuhan gigi.