SAHUR DAN KEBERKATANNYA

MENUNAIKAN ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam yang ketiga. Hukumnya wajib kepada orang-orang yang mengaku dirinya beriman dan meyakini akan rukun islam maka wajib untuk melaksanakan puasa.

Dengan menjalani ibadah puasa, orang Islam akan memperolehi banyak hikmah dan ganjarannya.

Untuk berpuasa, orang Islam perlu bangun untuk bersahur di awal pagi sebelum masuknya waktu Subuh.

Apakah hukum bersahur?
Sunat muakkad, iaitu perbuatan yang tidak diwajibkan, namun amat digalakkan untuk dilaksanakan. Ia menjadi perbezaan antara sahur orang Islam dan sahur orang Yahudi.

Sebagaimana sabda Rasulullah SWT :
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

Allah SWT juga mengganjarkan keberkatan dalam sahur itu.

Sebagaimana sabda Rasulullah SWT :
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan dan minuman yang halal. Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Berdasarkan hadis, Muslim digalakkan bersahur dengan kurma (tamar). Nabi SAW bersabda:

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah kurma (tamar)”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Bukan itu sahaja, kita juga disunatkan untuk melewatkan sahur – merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Sebagaimana Firman Allah SWT :

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi Muhammad SAW Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi SAW menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

Bilakah penghujung waktu sahur?
Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi SAW yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi SAW ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Makkah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi SAW yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi SAW mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.

Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh, seperti yang diperkirakan dalam waktu imsak. Dalam riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”. (Hadis riwayat Muslim).

Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.

error0
Tweet 20