RASUAH: BUNG, ZIZIE MENGAKU TAK BERSALAH

BEKAS Pengerusi Bukan Ekskutif FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) empat tahun lalu.

Bung, 60, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan membuat pengakuan itu selepas tiga tuduhan terbabit dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, 41, yang juga seorang artis, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat atas kesalahan yang sama.

BH melaporkan bagi tuduhan pertama, Bung didakwa sebagai ejen kepada FELCRA untuk memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya Zizie Ezette.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati pada jam 12.30 tengahari, 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan ketiga pula, Bung didakwa mperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Bung didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Bung dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan beliau turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Rozina turut menetapkan sebutan kes pada 10 Jun ini.

Bung Moktar diwakili peguam Datuk R Kumaraendran manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar bertindak bagi pihak pendakwaan.