RAMAI PIHAK KRITIK PEMILIHAN DORAEMON UNTUK PROMOSI TAHUN MELAWAT MALAYSIA

PENGUMUMAN Balai Seni Negara pada Mac lalu untuk menggunakan animasi Doraemon sebagai langkah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Ameir Hamzah Hashim berkata kerajaan sepatutnya menampilkan watak animasi tempatan untuk mempromosikan Malaysia.

Memetik laporan Malaysiakini, Ameir berkata pemilihan Doraemon mencerminkan kerajaan tidak meraikan karya anak tempatan.

“Malaysia tidak kurang hebatnya dengan watak animasi sedia ada.

“Antaranya Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboiboy, Usop Sontorian, Keluang Man dan lain lain yang pernah dan masih digemari penonton,” katanya dalam satu kenyataan.

Ameir memberitahu pihaknya tidak menghalang sebarang usaha untuk mempromosikan Malaysia dan skop industri pelancongan.

“Namun kami mengharapkan karya tempatan dapat dibariskan bersekali atas sifat silang budaya, selain menjulang kreativiti tempatan kepada khalayak antarabangsa.

“Tahun Melawat Malaysia 2020 juga menjadi medan menzahirkan budaya kita kepada pelancong dari pelbagai pelusuk dunia,” katanya.

Les’ Copaque Production Sdn Bhd, penerbit filem animasi tempatan popular iaitu Upin Ipin turut memuatnaik satu posting di Facebook dipercayai menyindir pemilihan Doraemon untuk mempromosikan Malaysia.

“Benda boleh pakai animasi luar untuk promosi Malaysia, buat apa pakai animasi Malaysia sendiri,” kata hantaran itu.

Sementara itu, Pengerusi Balai Seni Negara, Rashidi Hasbullah percaya pameran lukisan berkenaan secara tidak langsung boleh mempromosi Malaysia di seluruh dunia.

Menurut Rashidi, Doraemon mempunyai peminat di seluruh negara dan secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini.

“Kita akan lihat bagaimana Malaysia dan Jepun dapat bekerjasama dalam hal ini, mungkin akan adakan pameran lukisan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Peminat Doraemon bukan saja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga pelbagai usia kerana kita tahu kartun berkenaan turut mempunyai nilai positif dalam setiap ceritanya,” katanya.

error0