PROJEK SOLAR SEKOLAH SARAWAK : PERBICARAAN ROSMAH DITETAP 2 MEI DEPAN

KES rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditetapkan pada 2 Mei depan untuk Mahkamah Tinggi mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan, untuk dibicarakan bersama kes rasuah Datuk Rizal Mansor, iaitu bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan, hari ini ditetapkan permohonan pendakwaan untuk membawa kes dihadapi Rosmah ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

“Sebelum ini permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang ketika itu mendengar kes terbabit.“Ia dipindahkan ke hadapan Hakim Mohamed Zaini kerana kes membabitkan Rizal didengar di sana. Oleh itu, pada tarikh akan datang kami (pendakwaan) akan buat permohonan pemindahan kes.

“Jadi pada 2 Mei depan, kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan untuk memindahkan kes Rosmah itu di hadapan (Hakim) Collin,” katanya memetik Berita Harian.

Rosmah diwakili peguam bela, Datuk Akberdin Abd Kadir dan Datuk Jagjit Singh.

Sebelum ini Rosmah didakwa atas tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, iaitu meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lalu.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit mengikut Seksyen 24 akta sama.