PERJUANGAN RASULULLAH SAW JADI LANDASAN PERJUANGAN BAPA, KATA ANAK NAJIB

MENERIMA kekalahan yang teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kehidupan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berubah. Walaupun kini berdepan dengan pelbagai pertuduhan dan pendakwaan di mahkamah, semangat perjuangannya tetap utuh.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa, yang memuat naik satu posting di laman Instagram, menulis bahawa Najib tetap mahu membantu orang yang memerlukan selagi dirinya mampu meskipun tanpa kuasa dan jawatan.

Tidak mengenal penah dan lelah, kata Nooryana, bapanya kini yang sinonim dengan laungan ‘Malu Apa Bossku’ mahu mencontohi dugaan sepanjang perjuangan Nabi Muhammad SAW walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya yang lalu.

Malah Nooryana pernah bertanya apakah bapanya akan terus melawan dan berjuang meskipun menyedari kesan yang akan diterima terhadap dirinya, keluarga dan penyokongnya.

“Jawab bapa, ‘Ingatlah Nabi Muhammad masih meneruskan perjuangannya walaupun hanya dengan pengikut yang kecil’. Saya tahu ia amat sukar. Tetapi saya mahu berada di situ untuk rakyat apabila tiba masanya nanti mereka dapat melihat kenyataan sebenar Malaysia Baru.

“Mereka perlukan seseorang untuk mendengar rintihan, seseorang yang akan berjuang bersama-sama mereka, seseorang yang akan berkata tak semuanya menemui jalan buntu dan kita boleh berbuat sesuatu mengenainya,” kata Nooryana.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan bakal dibicarakan tidak lama lagi menerusi pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“42 pertuduhan. Dan cukup jika hanya satu (tuduhan) yang sangkut (dibuktikan bersalah) berdasarkan dari segi teknikal dan kerajaan telah menutup suara pengkritiknya yang paling tegar (Najib),” tulisnya.

Nooryana berharap para penyokong dan sahabat-sahabat bapanya terus memberi kata-kata semangat kepada Najib.

“Pada saat-saat yang dilaluinya secara bersendirian di kandang tertuduh itu, apa yang difikirkannya adalah keluarga, kawan-kawan, penyokong dan rakyat yang sangat beliau ambil berat itu.

“Kamulah sumber kekuatan dirinya. Tolonglah berada di samping beliau pada ujian paling mencabar dalam hidupnya itu,” katanya lagi.

error0