PENCUCI ‘MISS V’ – PERLU ATAU TIDAK?

SEMAKIN hari semakin banyak produk berkaitan bahan pencuci feminin sama ada yang dijual di kedai-kedai atau melalui online. Kononnya mencuci menggunakan produk tertentu lebih bersih dan bagus untuk kesihatan aset wanita berkenaan.

Tapi, benarkah ia baik untuk wanita? Atau sekadar kosmetik semata-mata tanpa memberi apa-apa manfaat?

Hakikatnya, setiap wanita tidak memerlukan apa-apa pencuci feminin khas, melainkan hanya perlu membasuh kawasan faraj dengan air paip sudah mencukupi.

Tahukah anda, pemakaian pencuci feminin mampu mengubah habitat asal di kawasan faraj sehingga boleh menyebabkan bakteria asal dan ‘baik’ akan mati dan mengundang bakteria lain yang tidak ‘dikenali’ ke kawasan berkenaan.

Kesannya, mulalah timbul masalah keputihan yang tidak normal, berbau sehingga mendatangkan kegatalan yang teruk di sekitar faraj. Bukan sahaja dalaman tidak selesa, luaran pun sama.

Ini kerana kulit di sekitar Miss V tidak serupa dengan kulit di bahagian badan yang lain. Ia sensitif, termasuk mukosa yang berada di kawasan itu.

Doktor-doktor di klinik dan hospital juga menerima pelbagai aduan berkenaan penggunaan pencuci feminin yang semakin melambak dijual di pasaran. Sudah banyak kali ditegaskan pencuci sebegitu tidak perlu, namun malangnya masih ada yang ingkar. Mungkin terpedaya dengan iklan atau kata-kata manis si penjual kononnya kandungan pencuci feminin itu bebas kimia, dibuat berasaskan rempah dan herba malah ada juga yang dibaca dengan ayat-ayat Al-Quran.

Kesimpulannya, usahlah terpedaya dengan iklan-iklan pencuci feminin yang dijual di Facebook atau Instagram malah di kedai-kedai kecantikan. Yang pasti, cucian dengan air paip sudah mencukupi dan tidak mendatangkan mudarat di sekian hari.

error0