PARA WANITA, JANGAN ‘SKIP’ BUAT UJIAN PAP SMEAR

TAHUKAH anda, setiap satu minit seorang wanita di dunia didiagnos menghadapi kanser serviks. Di Malaysia pula, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang paling kerap dihidapi oleh kaum wanita.

Penyakit ini turut dikenali kanser pangkal rahim.

Apa itu ujian pap smear?

Ia merupakan ujian saringan untuk mengesan kehadiran sel sebelum menjadi kanser (pra-kanser) atau sel kanser pada serviks. Jika seseorang itu dikesan mempunyai sel yang tidak pra-kanser, maka rawatan boleh diberikan sebelum ia bertukar menjadi kanser.

Ujian ini amat mudah dan berkesan untuk melihat jenis di sel di kawasan serviks.

Siapa yang perlu jalani ujian pap smear?

Semua wanita, sama ada yang belum atau telah berkahwin dalam lingkungan umur antara 21 hingga 65 tahun disarankan melakukan ujian pap smear.

Wanita yang melepasi usia 65 tahun dan mempunyai keputusan ujian pap smear yang normal tidak memerlukan ujian ini.

Wanita yang saling bertukar pasangan dan mengamalkan seks bebas amat berisiko mempunyai kanser serviks, disebabkan jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). HPV merupakan salah satu virus yang menyebabkan ketuat. Namun dalam hal ini, HPV boleh menyebabkan kanser serviks.

Ujian ini boleh dilakukan bila-bila masa kecuali ketika haid dan nifas. Sebelum melakukan ujian pap smear, adalah dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks dan menggunakan apa-apa ubat di dalam faraj.

Bagaimana prosedurnya?

Ia dilakukan dengan menggunakan speculum atau berus serviks yang dimasukkan ke dalam faraj. Sedikit sel di permukaan faraj akan diambil dan dihantar ke makmal untuk diperiksa. Ia akan mengambil sedikit masa dan keputusan akan dimaklumkan sama ada nirmal atau tidak normal. Jika tidak normal anda diperlukan untuk membuat rawatan lanjut.

Adalah disarankan setiap wanita menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun sekali!

Mengapa saya perlu lakuan ujian pap smear?

  • Hanya sekali dalam tempoh 2-3 tahun

Ia bukan ujian yang perlu dilakukan secara kerap. Jika keputusan pap smear anda negatif, anda hanya perlu melakukannya sekali lagi dalam masa tiga tahun. Ini kerana sel normal akan mengambil masa antara dua ke sepuluh tahun untuk menjadi sel kanser.

  • Dapat kenalpasti masalah dari awal

Pegang prinsip ini – lebih baik mencegah dari mengubati. Maka ujian pap smear merupakan salah satu usaha anda untuk menjaga kesihatan dalam sedari awal, terutama dalam mengesan apa sahaja keganjilan di bahagian serviks.

Jika keputusan anda positif, tidak semestinya anda mempunyai kanser serviks. Ia mungkin menandakan wujud jangkitan lain dan perlu diperiksa lanjut.

  • Tak sakit pun!

Seringkali wanita dimomokkan ujian ini menyakitkan. Hakikatnya ia hanyalah sedikit rasa tidak selesa di bahagian sulit.

  • Sekejap sahaja!

Hanya 5 minit sahaja diperlukan untuk melakukan ujian pap smear. Yang penting relakskan badan supaya doktor mudah melakukan pemeriksaan.

  • Kos murah

Tahukah anda ujian pap smear boleh dilakukan secara percuma di klinik-klinik kerajaan. Kemudahan telah diberikan di klinik kerajaan, mengapa masih ramai yang tidak mahu menggunakannya?

Di Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), caj yang dikenakan sekitar RM20, namun sedikit mahal di klinik-klinik swasta.

Ujian pap smear adalah tepat dan amat terbukti mampu mengelakkan kanser serviks sehingga 80%. Jangan berlengah lagi, lakukan segera ujian pap smear. Siapa lagi yang perlu sayangkan diri sendiri, melainkan kita si empunya badan?

Rujukan di sini.

error0