PAHANG BAKAL ADA HOTEL KAPAL TERBANG, YANG PERTAMA DI MALAYSIA

SEKTOR pelancongan di Pahang akan terus meningkat dengan kewujudan hotel kapal terbang, dipercayai yang pertama di Malaysia.

Menggunakan pesawat Boeing 737-400, pengusaha hotel berkenaan, Kevin Young Thien Sheng, 30 berkata tempoh setahun diperlukan untuk melaksanakan idea hotel itu selepas mereka baru sahaja membawa pesawat itu dari Selangor ke Sungai Lembing, Kuantan, awal Mei ini.

Pesawat itu dibeli oleh bapanya, Young Yeong Long, 61, dari sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam melupuskan pesawat yang telah lebih tempoh khidmat.

Ujar Kevin, kerja-kerja membawa pesawat itu juga termasuk membuat satu laluan khas supaya kenderaan boleh membawa masuk ke tapak hotel.

Mereka juga terpaksa memotong beberapa pokok di kawasan hutan itu, walaupun tidak berniat untuk berbuat demikian, dalam usaha memuatkan bahagian sayap pesawat.

Kevin berkata, mereka mengambil masa selama dua bulan merancang ‘perjalanan’ pesawat itu ke sini, supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak mengganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.

“Paling seronok ialah apabila kami mula memasuki Sungai Lembing. Berita tentang pesawat ini tersebar begitu cepat dan orang ramai beratur di tepi jalan untuk melihat sendiri… suasana begitu meriah ibarat pesta pada hari itu,” katanya.

Hotel itu, dikatakan mempunyai jumlah bilik yang terhad, iaitu sebanyak lima buah bagi menjamin keselesaan pengunjung nanti.

“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk… jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung.

“Bahagian kokpit pula akan dikekalkan supaya semua pengunjung boleh merakamkan kenangan. Tren terkini pengunjung mahu gambar yang cantik untuk dimuatnaik dalam laman sosial khususnya di Instagram,” katanya.

Kevin berkata bagi ‘melindungi’ keunikan hotel itu, mereka sedang mendaftarkan jenama hotel kapal terbang itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kerana berhasrat mahu membuka hotel dengan konsep serupa di lokasi berbeza.

error0
Tweet 20