PADAH LARIKAN DIRI, BANDUAN DITAMBAH HUKUMAN PENJARA

SEORANG banduan di Penjara Pengkalan Chepa terpaksa meringkuk di penjara dengan tempoh tambahan setahun enam bulan selepas bertindak melarikan diri pada bulan lalu.

Tertuduh, Faizal Hussain, 23, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu selepas dibacakan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Terdahulu pada 22 April lalu, rakannya, Ahmad Faqis Ismail, 29, dipenjara setahun dan Amireul Iqbal Muhamad, 25, dipenjara 20 bulan terhadap kesalahan sama.

Ketiga-tiga banduan lelaki itu melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa namun hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja, sebelum kesemua mereka berjaya ditahan semula.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang di Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa di sini, pada jam 11.26 malam pada 18 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.