NGO LAPOR POLIS TINDAKAN ALIFF SYUKRI PUKUL ANAK KERANA BUKA TUDUNG

TERKESAN dengan tindakan usahawan ksometik terkenal, Datuk Aliff Syukri kerana merotan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun kerana membuka tudung, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat satu lapran polis atas isu penderaan fizikal.

Protect and Save The Children (P.S. The Children) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Selasa, dalam pada itu berkata insiden memukul anak perempuan itu ‘amat memalukan’ apatah lagi Aliff turut memuatnaik video yang menyaksikan dirinya menyapu ubat di belakang badan anaknya.

NGO itu turut mendakwa Aliff mendidik anaknya dengan kaedah ekstrim, malah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak dan juga Akta Keganasan Rumah Tangga.

P.S. The Children, yang merupakan ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) turut menggesa pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak tegas terhadap tindakan berkenaan.

Terdahulu, Aliff yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ dikatakan memukul belakang badan anaknya, Qadejah El Zahra, kerana gemar membuka tudung di hadapan tetamu lelaki yang tidak dikenali.

Menerusi kapsyen video yang dimuatnaik di Instagram, Aliff memujuk anaknya yang menangis ketika disapu ubat dengan berkata tindakannya itu demi menjaga maruah anaknya dan batas aurat seorang perempuan.