NAK SUAMI MAKIN SAYANG? PARA ISTERI WAJIB LAKUKAN 10 PERKARA INI

RUMAH tangga mana yang tak dilanda badai, tak ditimpa hujan. Adakalanya hubungan suami isteri ada pasang surutnya. Dan sesekali wujud pertelingkahan atas beberapa perkara.

Saban hari ada sahaja kisah yang tidak menyeronokkan berkenaan hal rumah tangga dikongsi di media sosial. Kesannya bukan sahaja kepada pasangan suami isteri, anak-anak yang tidak bersalah juga akan menjadi mangsa keadaan.

Isteri-isteri sekalian, jangan biarkan perasaan kasih sayang kepada suami semakin berkurang selepas beberapa tahun berkahwin. Jangan jadikan kesibukan kerjaya dan anak-anak sebagai alasan mengapa rumah tangga anda hambar.

Berikut adalah 10 perkara yang isteri boleh lakukan untuk menambat hati suami :

  • Berhias untuk suami

Kalau anda boleh tampil cantik dan bergaya jika ke pejabat, mengapa anda tidak mahu tampil cantik di hadapan suami sendiri?

Sentiasa rapikan rambut, bersihkan diri luar dan dalam dan pakai dengan kemas apabila menyambut kepulangan suami. Berikan senyuman yang paling ikhlas dan manis. Pasti harinya yang penat akan hilang selepas melihat senyuman si isteri.

  • Sentiasa ucap terima kasih

Hargai setiap pemberiannya walaupun nilainya sedikit. Ia amat bermakna dan membekas di hati suami.

Jangan terus reject jika anda tak suka dengan pemberiannya. Ucap dahulu terima kasih dan berlapiklah dalam percakapan.

“Terima kasih sayang belikan saya tudung baru. Boleh pakai untuk ke pejabat esok. Cuma, kalau lain kali awak nak belikan lagi, cari corak yang kecil sedikit ya.”

  • Jangan berleter!

Perempuan dan cakap banyak tak boleh dipisahkan. Suami akan bosan jika dirinya sentiasa dileter dan ditanya itu ini. Jadi, kurang-kurangkanlah tabiat itu.

  • Teman suami makan

Mungkin suami perlu balik lewat dari kerja kerana ada urusan dan menyuruh anda dan anak-anak makan terlebih dahulu.

Selewat mana pun suami tiba di rumah dan sepenat mana pun anda seharian di pejabat dan menguruskan anak, temanilah suami anda makan.

Thabit al-Banni berkata,

Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya terhadap suaminya.Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan.

Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk dijadikan sumbu.Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada suami.”

  • Masak makanan kegemarannya

Harus diakui tak kesemua wanita pakar di dapur, malah ada juga gemar makan di luar kerana tak mahu dapurnya kotor dan berselerak.

Walaupun anda tak pandai memasak, tidak ada salahnya untuk belajar memasak menu kesukaan suami anda. Pasti suami puji melambung meskipun apa yang anda masak itu sangat ringkas.

  • Jangan perkecil kemampuan suami

Hari ini ramai golongan wanita mempunyai kerjaya yang lebih baik berbanding suami. Namun ini tidak bermakna anda harus memandang rendah dengan kemampuan dan pencapaiannya.

Sentiasa hormat suami dan beri dorongan dengan kata-kata motivasi bahawa anda yakin dengan kemampuan dirinya. Anda pun tahu, doa seorang isteri mustajab, kan?

  • Selalu minta maaf

Jangan ego dan terlalu mengikut rajuk di hati. Jika wujudnya perbalahan antara pasangan, segeralah minta maaf. Confirm hati suami cair dan mudah tersentuh!

  • Buat surprise!

Kejutan tak semestinya dilakukan ketika hari jadi atau ulang tahun perkahwinan. Sedikit surprise dengan menulis surat luahan hati atau membeli stokin jenama kegemarannya mungkin merubah mood suami sepanjang hari.

  • Layan mertua dengan baik

Sebagaimana anda melayan baik seperti keluarga anda sendiri,  pasti suami akan bertambah sayang kepada anda.

  • Layan suami seperti raja

Suami suka jika isteri menyediakan keperluan untuknya. Contohnya, menyediakan keperluannya ke pejabat, membantu lapkan peluh dan menyikat rambutnya selepas mandi. Hati lelaki mana tak cair jika isteri layan dengan penuh kasih, kan?

Perlu ingat, tugas mengharmonikan rumah tangga bukan terletak pada isteri semata-mata. Si suami juga perlu memberikan effort dan bersikap tanggungjawab agar perasaan cinta semakin mekar walaupun sekian lama hidup bersama.

Nanti kami kongsikan pula tips untuk suami ya!

error0