MUFTI PERLIS: SAYA TAK PASTI SIAPA ‘PEKAK’ YANG DIMAKSUDKAN TUN M

SUSULAN dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan Islam dan kemudiannya dibalas oleh kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan beliau sebagai ‘pekak’.

Mohd. Asri pada hari ini dalam satu hantaran di Facebook berkata dirinya tidak pasti siapa yang dimaksudkan dengan ‘pekak’ tersebut kerana apa yang disuarakan adalah realiti daripada masyarakat Islam di Malaysia.

“Banyak berita pagi ini pasal kenyataan YAB Tun M: “Mufti Perlis pekak” sebab kritikan saya yang suara mempertahankan Islam kurang kedengaran dalam kalangan pimpinan kerajaan hari ini. Umat Islam rasa kurang selamat.

“Namun, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini. Saya tidak pasti siapa yang pekak.

““Mungkin YAB Tun M terguris disebabkan hubungan baik saya dengan Tun M selama ini. Saya faham keadaan itu.

“Beberapa tahun yang lalu Tun M ada menulis cacatan ini kepada saya. Antara yang ditulis: “Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya,” katanya.

Terdahulu beberapa hari lalu Mohd. Asri mendakwa suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

Mohd Asri berkata, pelbagai kenyataan dibuat oleh individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam.

Pihak yang menimbulkan ketegangan itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan, manakala individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.