MOHD ASRI TERIMA UGUTAN PUKUL

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam membuat satu laporan polis selepas menerima satu ugutan untuk memukul di laman Facebooknya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd dengan berkata laporan itu dibuat oleh Mohd Asri pada jam 6.30 petang semalam di sebuah balai polis di daerah Padang Besar.

Lapor Berita Harian, laporan itu dibuat oleh Mohd Asri demi keselamatan diri dan keluarganya daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Berdasarkan keterangan, beliau menerima satu mesej di Facebook daripada individu yang mengguna nama ‘Sandev Sandev’ pada jam 6 petang yang mengancam untuk memukulnya.

“Pada mesej itu, lelaki berkenaan meminta Mohd Asri memberikan alamat rumah bagi membolehkan suspek datang dan memukul Mohd Asri sehingga dirinya mengalami kecederaan parah.

“Suspek juga memberikan nombor telefon bimbitnya bagi membolehkan Mohd Asri menghubunginya secara terus disamping bertujuan untuk memudahkan suspek melunasi hajat dengan memukulnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, pihaknya sudah mendapatkan keterangan Mohd Asri dan menyimpan bukti yang jelas menunjukkan terdapat ancaman berkenaan di Facebook.

“Malah kita juga sudah mengesan suspek lelaki yang berusia 36 tahun dan kini menetap di sebuah alamat di Pintasan Pengkalan 4 Wels Quay, Pulau Pinang.

“Jadi kita akan menahan suspek dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung ancaman pukul terhadap Mohd Asri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

error0