MELAWAN MITOS : MAKAN NENAS PUNCA KEGUGURAN?

SEBAIK sahaja berita kehamilan tersebar di kalangan ahli keluarga, antara perkara utama yang akan dititipkan buat bakal ibu dan ayah adalah menjaga pemakanan. Ini kerana, apa yang si ibu makan, tempiasnya akan dirasai kepada bayi.

Kata orang tua-tua, memakan nenas ‘tidak elok’ kerana sifatnya tajam, sekaligus akan mendatangkan risiko keguguran janin atau kelahiran awal bayi. Maka, ramai ibu ‘pejam mata’ bila terpandang nenas. Tetapi bagaimana pula jika si ibu mengidam sangat hendak makan nenas, atau tidak ada selera makan kecuali nenas.

Persoalannya, apakah benar nenas ini merbahaya? Dan apakah ada bukti saintifik terhadap pengambilannya ketika hamil?

Kini, ibu-ibu hamil tak perlu berasa takut lagi untuk memakan nenas kerana ia ternyata membekalkan nutrisi yang diperlukan. Tahukah anda, secawan nenas membekalkan 100% kandungan Vitamin C yang diperlukan oleh badan kita. Bukan setakat itu sahaja, nenas juga mengandung Vitamin B6, Copper, Magnesium, Iron dan Folate – di mana kesemua kebaikkan ini membantu kepada pertumbuhan bayi sepanjang tempoh kehamilan dan kesihatan si ibu.

Perlukan lagi keyakinan dalam hal ini? Dr Zubaidi Hj Ahmad, seorang doktor perubatan, penceramah kesihatan dan penasihat pemakanannya juga pernah menulis topik ini di blognya tentang persoalan yang sering membelenggu wanita hamil.

Sehingga ini tidak banyak kajian saintifik sahih yang menunjukkan pemakanan nenas akan menyebabkan keguguran di awal kehamilan atau mempercepatkan proses kelahiran.

Kaitan nenas dan keguguran ini dikatakan berpunca daripada enzim bromelain yang terkandung di dalam nenas, dan kemampuannya untuk melembutkan pangkal rahim atau serviks seterusnya mempercepatkan proses kelahiran.

Bagaimanapun kuantiti bromelain sebenarnya terlalu sedikit dalam sebiji nenas sehingga menyebabkan keguguran. Begitu juga jika ibu hamil hanya memakan sepotong nenas. Dikatakan jika seseorang wanita hendak mempercepatkan proses kelahirannya, dia memerlukan tujuh sehingga sepuluh biji nenas untuk dimakan!

Yang pasti pengambilan nenas dalam kuantiti yang banyak juga mungkin mendatangkan ketidakselesaan kepada si ibu. Asid yang terkandung pada buah tersebut boleh menyebabkan masalah pedih ulu hati atau reflux. Mereka yang mempunyai perut yang sensitif perlulah berhati-hati. Dan jika wujud tanda-tanda seperti asma, gatal, selsema atau bengkak mulut selepas memakan nenas, segeralah berjumpa dengan doktor ye. Jangan ambil mudah lebih-lebih lagi ketika hamil.

Jika si ibu mahu mengambil nenas sebagai sebahagian makanan dalam tempoh kehamilan dan tidak tahu bagaimana untuk mula, di bawah adalah panduan untuk anda;

  1. Potong dadu nenas segar dan makan bersama yogurt
  2. Smoothie nenas
  3. Topping pada pizza atau isi kebab
  4. Ice-pop nenas

Apa-apa pun, berwaspada dan bersederhana dalam pengambilan adalah sebaiknya. Memakan nenas dalam kadar biasa tidak membahayakan bayi dan diri anda. Jika masih ragu-ragu, berjumpalah doktor dan dapatkan pandangan daripada mereka.

error0