MAYAT BAYI DITEMUI DI MASJID KETIKA JEMAAH HENDAK SOLAT SUBUH

Kredit gambar : Utusan Malaysia

JEMAAH Masjid Asy Syakirin, Pasir Puteh di Bachang, yang hendak menunaikan solat Subuh pagi tadi terkejut apabila menjumpa mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan sejak tiga hari lalu.

Bayi berkenaan dibalut dengan sehelai kain batik bewarna hijau dengan masih bertali pusat, sedikit kesan darah pada hidungnya dan lebam kehitaman di muka dan badannya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan terima panggilan oleh orang awam yang menghubungi Balai Polis Malim pada pukul 6.45 pagi.

“Berdasarkan nota yang ditulis atas kertas putih, bayi malang itu dipercayai dilahirkan pada Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh dua jam sebelum ia ditemukan berdasarkan kepada keadaan mayat yang masih baharu dan belum mengeras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kematian dan ibu bayi berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.