MAHKAMAH ARAH SUSPEK PEMBUNUHAN DI CHRISTCHURCH JALANI PEMERIKSAAN MENTAL

BRENTON Tarrant, tertuduh yang menembak dua masjid di Christchurch dan mengorbanlan 50 orang Islam diarahkan menjalani pemeriksaan mental untuk menentukan sama ada dirinya layak untuk dibicarakan.

Dia menghadapi 50 pendakwaan bunuh dan 39 cubaan membunuh.

Tarrant akan dipantau oleh dua pegawai kesihatan untuk melihat sama ada dia layak dibicarakan atau mempunyai masalah mental.

Tarrant ditahan secara berasingan di sebuah penjara dengan keselamatan maksimum berikutan pembunuhan beramai-ramai itu menjalani prosiding pendakwaan secara pautan audio-visual dari Auckland.

Sepanjang prosiding, suspek yang mengakui dirinya adalah pelampau ketuanan kulit putih hanya mendengar dan berdiam diri.

Beberapa waris mangsa turut berada di mahkamah untuk melihat sendiri buat kali pertama lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai itu.

Tarrant akan ditahan reman sehingga prosiding mahkamah berikutnya pada 14 Jun.