LEMAH IMAN : APAKAH PUNCA DAN CARA MENGATASINYA

SEJAK kebelakangan ini, kita dapat lihat beberapa kejadian yang dikatakan berpunca daripada ‘lemah iman’, ‘iman naik turun’, ‘iman tak kuat’ dan sebagainya.

Seolah-olah ungkapan itu menghalalkan segala perbuatan yang dilihat bertentangan dengan ajaran agama.

Contoh terdekat yang dapat dilihat, isu buka tudung yang dikaitkan dengan beberapa artis wanita. Alasan yang sering diberikan berkenaan ‘iman’ dan tidak lagi mahu menjadi hipokrit. Sebagai influencer lebih-lebih lagi di media sosial, tindakan sedemikian akan memberi kesan kepada orang ramai – apatah lagi yang mengidolakan mereka.

Bukan itu sahaja, masyarakat juga sering didedahkan dengan kes menjual diri demi mendapatkan duit poket, tidak kiralah sama ada gadis remaja atau wanita yang berusia. Alasan ‘iman tak kuat’ juga sering dikaitkan dengan masalah hubungan sejenis.

Mengapa terjadi ‘lemah iman’?

Antaranya disebabkan jauh dari tauladan yang baik, tidak menuntut ilmu agama, sering bergaul dengan mereka yang melakukan maksiat, sibuk dengan urusan dunia hingga menjadi hamba kepada dunia, sibuk dengan harta, anak dan isteri, selalu berangan-angan, sentiasa berlebihan tanpa tujuan yang syarie dan jauh dari suasana keimanan dalam tempoh yang panjang.

Apakah tanda ‘lemah iman’?

  • Tidak melakukan ibadat dengan baik, contohnya fikiran melayang ketika bersolat dan membaca Al-Quran
  • Sentiasa merasa malas untuk melakukan ibadat dan ketaatan, apatah lagi tidak melakukan perkara-perkara yang sunat
  • Hati sempit dan keras
  • Tidak terkesan dengan ayat-ayat Al-Quran
  • Memperkecilkan perbuatan yang baik
  • Merasa tenang dalam urusan dunia hingga menjadi takut jika ada sesuatu hilang dari bahagian dunianya
  • Hanya bercakap menggunakan akal tanpa kalam Allah, sunnah Nabi dan salaf al-soleh

Jika perkara-perkara sebegini dibiarkan dengan terus menghalalkan alasan ‘iman’, maka tahap keimanan seseorang itu akan berterusan menjadi lemah kerana tidak ada usaha untuk mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW sekaligus mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Penawar untuk ‘lemah iman’ :

  • Memperbanyakkan amalan-amalan soleh, sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan
  • Mempelbagaikan ibadat
  • Membaca ayat-ayat Al-Quran dan menuntut ilmu agama
  • Menghadiri majlis-majlis agama
  • Sentiasa mengingati mati, hari akhirat dan takutkan pengakhiran hidup yang tidak baik
  • Mengagungkan kebesaran Allah SWT
  • Sentiasa muhasabah dan merendah diri
  • Sentiasa berdoa
error0