LELAKI UGUT PUKUL MOHD ASRI DIREMAN EMPAT HARI

POLIS hari ini menahan seorang lelaki yang juga suspek yang mengugut untuk memukul Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook kelmarin.

Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Suspek berjaya ditahan polis di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas suspek bagi mengenal pasti punca sebenar ugutan itu.

“Sebarang maklumat terkini berhubung kes ugutan ke atas Mohd Asri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Polis baru sahaja mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek. Jadi berikan pihak polis ruang untuk melakukan soal siasat ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Asri pada semalam membuat laporan polis kerana menerima ugutan pukul oleh seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ di Facebook.

Ugutan itu dilakukan pada jam 6 petang kelmarin, dan suspek turut memberikan nombor telefonnya kepada Mohd Asri bagi memudahkan pertemuan antara mereka.