LELAKI MAUT DIGILIS SELEPAS KHAYAL DAN TERTIDUR DI LANDASAN KERETA API

DALAM kejadian jam 5 pagi tadi, seorang lelaki berusia 20-an maut digilis kereta api selepas disyaki tetridur di landasan di Kilometer 1.5 Beaufort – Tanjung Aru, berhampiran Chan Furniture.

Mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta api berkenaan bertolak dari Stesen Beaufort menuju ke Stesen Tanjong Aru dengan kelajuan 35 kilometer sejam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa merupakan seorang penagih gam dan tertidur di landasa selepas khayal menghidu gam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu melihat satu objek melintang di landasan kereta api. Ketika itu pemandu menyangkakan objek itu adalah sampah kerana keadaan ketika itu gelap.

“Dalam jarak 20 meter pemandu jelas nampak objek itu adalah manusia lalu menggunakan brek kecemasan hingga menyebabkan kereta api terseret dan menggilis mangsa,” katanya.

Azmir berkata, siasatan di lokasi kejadian diteruskan dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.