LAGI KES HINA NABI, OPERATOR KILANG DIHADAP KE MAHKAMAH

SEORANG operator kilang mengaku tidak bersalah atas kesalahan menghina Nabi Muhammad dengan memuat naik satu hantaran di akaun Facebooknya, Selasa lalu.

Tertuduh, A Taneson, 22, didakwa mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum emngikut Seksyen 298A (1) kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Tindakan tertuduh memuat naik ayat menghina Nabi Muhammad boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan beragama Islam dengan kumpulan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan mengikut seksyen itu tidak boleh diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam K Vasudevan Appu yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah menggunakan budi bicara dengan alasan anak guamnya pernah menjalani rawatan pesakit mental di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selain pendapatan sebagai operator kilang RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri dua minggu sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 April ini.

error0