KESILAPAN ‘BIASA’ YANG MENGURANGKAN PAHALA PUASA

RAMADHAN merupakan bulan dimana Allah SWT menutup pintu-pintu neraka dan membuka seluruh pintu-pintu rahmat untuk setiap hambanya melakukan kebaikan, bertaqwa dan mencari keampunanNya.

Justeru setiap orang Islam diseru untuk sentiasa merasa berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadat dan melakukan kebaikan, termasuk amalan-amalan sunat kerana telah dijanjikan ganjaran yang cukup besar.

Namun, adakalanya sesetengah dari kita terleka, teralpa dengan ‘kebiasaan’ sehingga mengurangkan pahala puasanya.

Di bawah adalah beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang Islam sepanjang bulan mulia ini.

Tinggal solat fardhu
Tersangatlah rugi buat seorang Islam jika dirinya berpuasa namun tidak mengerjakan solat fardhu lima waktu. Apatah lagi hukumnya wajib dan berdosa besar jika sengaja meninggalkannya. Maka ini menjadikan ibadat puasa itu sebagai sia-sia.

Enggan bersahur
Kononnya tidak mahu rasa mengantuk di siang hari sehingga seseorang itu berasa malas untuk bersahur. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah menegaskan bahawa setiap orang yang bangun sahur akan mendapat keberkatan dan kelebihan tersendiri.

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW; “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi).

Para Ulama juga menyebut bersahur itu merupakan waktu satu per enam terakhir malam (Awnul Ma’bud, 6/469)

Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW.

Dengan bersahur, sekurang-kurangnya dapat membekalkan tenaga di siang hari untuk menjalani aktiviti harian.

Tidur di siang hari
Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk tidur sepanjang hari dan bermalasan. Hukumnya makruh dan boleh mengurangkan pahala puasa. Seharusnya waktu siang diisi dengan pelbagai aktiviti harian dan ibadat sampingan.

Membazir
Seperti kebiasaannya, banyak bazar Ramadhan akan dibuka untuk menjual juadah berbuka dan pakaian. Malah di hotel dan restoran juga turut menawarkan pelbagai pakej berbuka secara mewah sehingga ratusan ringgit. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu, membeli tetapi tidak dimakan merupakan satu pembaziran!

Cukuplah makan dan berbelanja dengan sederhana dan berpatutan. Tidak salah jika pada bulan ini juga dipenuhi dengan amalan sedekah kepada golongan yang memerlukan.

Makan, minum dengan sengaja selepas batal puasa
Wanita, yang datang bulan ketika berpuasa janganlah makan di khalayak secara terang-terangan. Terapkan perasaan malu dan hormati mereka yang berpuasa. Ada juga yang sengaja membatalkan puasa dengan merokok dan mengeluarkan mani. Maka mereka wajib menggantikan puasa dan membayar fidyah kerana melakukan segala perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari itu.

Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki harinya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari).

error0
Tweet 20