KES NAJIB – 1MDB TANGGUH OGOS, BERI LALUAN PERBICARAAN SRC

HAKIM Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini memutuskan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguh pada 19 Ogos depan.

Keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International yang turut sedang berlangsung.

Perbicaraan kes 1MDB sepatutnya bermula pada 14 Mei ini.

Terdahulu peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Negara, Tommy Thomas berhujah berkenaan penangguhan perbicaraan kes SRC International.

Hakim itu kemudian menetapkan perbicaraan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos dan bersambung pada 2 September hingga 14 November depan.

Collin turut mengingatkan kedua-dua pihak supaya memberi komitmen terhadap kes 1MDB berikutan ini adalah kali kedua perbicaraan membabitkan kes itu ditangguhkan.

Sebelum ini pihak pendakwaan memfailkan notis usul supaya perbicaraan 1MDB ditunda sementara menunggu perbicaraan kes SRC International selesai.