KERJA MEMASAK DI BULAN RAMADHAN LEBIH CEPAT, MUDAH DENGAN 7 CARA INI!

BULAN Ramadhan akan menjadikan rutin sebahagian wanita sedikit kelam kabut untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Terutama bagi wanita yang bekerja, mereka perlu merancang masa dengan baik. Ada yang gemar membeli juadah berbuka di bazar Ramadhan, tetapi mungkin menjemukan kalau setiap hari sepanjang bulan puasa asyik beli dan tapau sahaja, kan?

BawangPutih kongsikan 7 cara yang menjimatkan masa dan tenaga untuk para wanita sepanjang Ramadhan. Selamat mencuba!

Sediakan stok cili dan bawang
Kisar awal-awal cili kering, bawang merah dan bawang putih untuk stok dalam tempoh seminggu. Cili kering lebih elok ditumis dengan minyak terlebih dahulu untuk menjadikannya tahan lebih lama. Bila bahan-bahan kasar ini dibuat awal, maka tak perlulah anda hendak mengupas dan mengisar setiap kali memasak.

Buat pes
Kalau rajin, buat juga stok pes seperti kari ayam, kari ikan, tomyam dan paprik. Tumis kesemua bahan yang diperlukan kemudian simpan di bahagian sejuk beku.

Rancang menu memasak
Sediakan lauk mengikut hari. Ini memudahkan anda terus masuk ke dapur dan menyediakan makanan. Tidaklah pening-pening lagi nak masak apa untuk setiap kali berbuka dan bersahur.

Sediakan makanan berbuka dengan lebih banyak
Bila buat hidangan berbuka dalam kuantiti yang banyak, maka anda tak perlu lagi ‘bersilat’ di dapur untuk memasak menu bersahur. Kan dah menjimatkan masa.

Bersihkan bahan mentah lebih awal
Sebaik sahaja pulang dari pasar, bersihkan terus kesemua lauk yang dibeli dan dibahagikan kepada beberapa bekas untuk memudahkan urusan di dapur nanti.

Sejuk beku kuih
Mungkin anda boleh menyediakan beberapa kuih yang boleh dihidangkan ketika berbuka dengan membuatnya lebih awal dan disimpan di bahagian sejuk beku. Contohnya donut dan karipap. Apabila hendak dihidangkan, anda hanya perlu keluarkan dari peti dan goreng sahaja.

Siapkan bahan pada waktu malam
Kalau rasa nak masak menu berbeza untuk bersahur, apa kata sediakan bahan-bahan masakan sebelum tidur. Contohnya, potong bawang dan sayur dan simpan di dalam peti.