KERAJAAN PERTIMBANG PERUNTUKAN TAMBAHAN UNTUK PROGRAM MATRIKULASI

KEMENTERIAN Pendidikan dan Kementerian Kewangan akan bermesyuarat pada hujung bulan ini untuk meneliti sejumlah peruntukan tambahan bagi 15,000 tempat dalam pengambilan pelajar Program Matrikulasi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberitahu perkara itu sedang diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Teknikal kementerian bagi meneliti secara menyeluruh aspek pelaksanaannya kelak.

Beliau, dalam pada itu memberitahu kementeriannya menggalakkan mana-mana individu yang berminat melanjutkan pelajaran di dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Semua laluan pendidikan disediakan Kementerian Pendidikan adalah bermatlamat memberikan nilai tambah dan peluang lebih baik untuk anak-anak kita menimba ilmu,” katanya.

Kerajaan pada Rabu lalu bersetuju menambah jumlah pelajar Program Matrikulasi kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Dalam pada itu kerajaan sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus lagi bagi bukan Bumiputera.

error0