KERAJAAN LANJUTKAN TEMPOH PENDIDIKAN LARANGAN MEROKOK HINGGA AKHIR TAHUN

KERAJAAN mengambil keputusan memanjangkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad bagi memberi peluang kepada perokok untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kesan dan kawasan larangan merokok.

Keputusan lanjutan tempoh itu dicapai menerusi mesyuarat jawatankuasa pemandu yang dipengerusikannya pada 16 April lepas dan disertai 10 kementerian lain dan satu wakil badan bukan kerajaan, katanya.

Dr Dzulkefly berkata jawatankuasa itu juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada jemaah menteri agar kumpulan perokok dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok, mQuit.

“Penangguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini,” katanya.

Ujarnya, kementeriannya menerima banyak reaksi positif berhubung pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.