KELUARGA KEKASIH TAK RESTU, LELAKI NEKAD GANTUNG DIRI

SEORANG lelaki warga Filipina ditemui mati dalam keadaan menggantungkan diri di kandang kambing dalam satu kejadian di Kampung Sebuak, Kuching, semalam.

Mangsa, 38, dikatakan mengambil keputusan menggantungkan diri setelah cintanya bersama seorang wanita di kampung berkenaan ditolak oleh keluarga wanita itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan ada seorang lelaki menggantung diri pada dahan pokok di tepi sungai kampung terbabit.

“Pemeriksaan polis di lokasi juga tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan,” katanya ketika dihubungi.

Aidil berkata, mengikut keterangan abang angkatnya, mangsa masih bujang serta tidak mempunyai pekerjaan tetap jatuh cinta dengan seorang wanita di kampung itu.

“Namun, percintaan itu tidak direstui ahli keluarga perempuan berkenaan. Sebelum membunuh diri, mangsa ada meninggalkan nota mengatakan dia amat mencintai kekasihnya dan akan pergi ke tempat yang wanita itu tidak dapat pergi serta tidak akan kembali lagi.

“Mangsa juga mengatakan dia nekad bunuh diri agar kekasihnya tidak dapat melihat mukanya yang dikatakan sial.

“Selain itu, satu lagi nota pesanan dari mangsa agar nama yang disenaraikannya untuk menggali kubur dan mengangkat mayatnya,” kata Aidil.

Beliau berkata, pemeriksaan badan dilakukan dan mendapati tiada sebarang kesan luka atau lebam pada badan mangsa.

“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) sementara menunggu kebenaran daripada kedutaan Filipina untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri,” katanya.

error0