KEDAI MAKAN DI KELANTAN DIARAH HENTI OPERASI SEMENTARA UNTUK SOLAT TARAWIH

KERAJAAN negeri Kelantan pada semalam mengeluarkan satu arahan kepada kesemua pengusaha kedai makan dan restoran untuk mengentikan sementara operasi dari jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadhan.

Ia bertujuan menghormati bulan puasa dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

Arahan berkenaan dikeluarkan kepada semua ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui surat ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin, semalam.

Surat arahan berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi dari kalangan masyarakat negeri itu. Ada yang tidak bersetuju dengan dasar berkenaan.

Malah perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berharap arahan berkenaan ditarik balik.

“Selepas sahkan kebenarannya, saya berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam digalak menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul.

“Barang siapa yang diharamkan oleh Allah dengan keberkatan dan kelebihan pada bulan Ramadan, maka sesungguhnya dia telah diharamkan daripada segala kebaikan – maksud hadis al Rasul,” katanya memetik kenyataan di laman Facebooknya.