KECEWA ISTERI KAHWIN LAIN, NELAYAN ASING GANTUNG DIRI

Gambar kredit Utusan Malaysia Online.

ORANG awam di Kompleks Perikanan Tok Bali, Pasir Puteh, semalam terkejut menemui mayat seorang lelaki yang tergantung di sebatang pokok pada jam 1 petang.

Mangsa dikenalpasti sebagai warganegara Myanmar berusia 29 tahun dan bekerja sebagai nelayan.

Mangsa bertindak menggantungkan diri akibat kecewa mengetahui isterinya yang tinggal di negara asal bertindak berkahwin dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri mengesahkan kejadian dan berkata adik mangsa berusia 20 tahun memberitahu mangsa sempat meluahkan perasaan dan kekecewaannya kepada adiknya sebelum kejadian.

“Adiknya memberitahu mangsa tidak dapat menerima berita isterinya di negara asalnya berkahwin lain yang dipercayai menjadi punca mangsa membunuh diri.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, kita percaya mangsa baru meninggal dunia dan tiada unsur jenayah ditemukan,” katanya.

Mangsa dan adiknya telah bekerja di Pelabuhan Tok Bali sejak beberapa tahun lalu dengan nelayan negeri ini, dengan tinggal di dalam bot dan hanya singgah di pelabuhan bagi kerja-kerja menangkap dan mendaratkan ikan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.