JOHOR TIADA MENTERI BESAR BUAT SEMENTARA WAKTU

SUSULAN perletakan jawatan Datuk Osman Sapian selaku Menteri Besar Johor pada 8 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran negeri itu akan diteruskan dengan pemangku Menteri Besar buat sementara waktu.

Dr Mahathir juga memaklumkan pihaknya mempunyai beberapa nama calon baru menggantikan jawatan Osman.

Osman merupakan menteri besar paling singkat mentadbir Johor iaitu kurang dari 12 bulan.

ADUN Kempas itu terpalit dengan beberapa kontroversi sepanjang pentadbirannya. Selepas dilantik sebagai menteri besar, Osman membuat kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di Johor – satu dasar berbeza yang pernah diamalkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Osman bagaimanapun menjelaskan dasar itu belum lagi dimuktamadkan pentadbiran negeri.

Osman kemudiannya didakwa menceroboh perairan Singapura dalam lawatan kerjanya 9 Januari lalu sehingga negara berkenaan mengemukakan bantahan melalui nota diplomatic kepada Wisma Putra pada 11 Januari lalu.

Osman juga pada Februari lalu terpalit isu sijil akademik palsu yang akhirnya menyaksikan beliau mengaku tidak menamatkan pengajian di Koleh Pertanian Malaya (yang kini dikenali Universiti Pertanian Malaysia (UPM)) .