JKM SUDAH PERIKSA FIZIKAL ANAK ALIFF SYUKRI

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjalankan pemeriksaan terhadap Qadejah El Zahra, 9 yang juga anak kepada usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri, mendapati tiada kesan negatif pada kanak-kanak itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemeriksaan itu mendapati tiada kesan negatif secara fizikal dan psikologi dialami Qadejah El Zahra, 9, atau nama timangannya, Cess, rentetan kes dirotan Aliff Syukri.

“JKM sudah siasat dan laporan mendapati tiada kesan negatif ke atas anak beliau, (namun) sekarang ini kita nak rujuk kepada hospital pula,

“Kita tahu niatnya (Aliff Syukri) untuk mendidik anaknya, tapi (dia) dipamerkan (kongsi video).

“Jika (dilihat) keterlaluan memang JKM telah ambil tindakan,” katanya memetik laporan BH.

Pemeriksaan JPM dilakukan selepas pihak itu menerima aduan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan tindakan Aliff merotan anak perempuan kerana membuka tudung di hadapan tetamu lelaki sebagai ekstrim.

Dalam masa sama Wan Azizah mengingatkan para ibu bapa mengamalkan pendekatan ‘good parenting’ dalam mendidik anak-anak.