JALIN HUBUNGAN DENGAN ISTERI ORANG, LELAKI MAUT DIPUKUL

DIPERCAYAI mempunyai hubungan dengan isteri orang, seorang lelaki maut dibelasah oleh sekumpulan individu di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Kelantan.

Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu lalu.

Mangsa, Mohamad Noralimin Hafiz Osman, 22, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis  Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, mengesahkan kejadian tersebut berkaitan dengan cemburu.

Mangsa dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang wanita berusia 20 tahun yang sudah berkahwin.

“Pada hari kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan dipukul beberapa lelaki di Rantau Panjang sebelum dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa dirujuk ke HUSM akibat kecederaan parah sebelum meninggal dunia petang kelmarin.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an jam 8 malam tadi di Lubok Setol,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Polis meminta seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan suami kepada wanita berkenaan untuk tampul ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.